| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Monday, August 1, 2011

Manusia hidup sebagai ujian.

Photobucket
Kehidupan manusia di dunia bukanlah satu yang sia-sia dan akan habis begitu sahaja. Manusia tidak bebas melakukan apa sahaja di dunia mengikut keinginan dan kemahuan dirinya tanpa ada batasan yang mengawalnya. Ini kerana Al-Quran menjelaskan bahawa Allah menjadikan manusia hidup di dunia ini sebagai ujian. Firman Allah : Maksudnya : Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah daripada kalangan kamu yang lebih baik amalannya (Al-Mulk: 2)

Setiap amalan manusia akan dinilai dan diberikan balasan. Balasan ini samada dalam bentuk ganjaran pahala atau balasan dosa dan azab. Balasan ini samada diberikan ketika di dunia, di alam kubur atau di alam akhirat. Firman Allah : Maksudnya: Maka orang yang melakukan amalan kebaikan sebesar zarrah akan dapat melihat ganjarannya dan orang yang melakukan amalan kejaharan sebesar zarrah akan dapat melihat balasannya di hari akhirat kelak (Al-Zalzalah: 7)

Tujuan ujian ini dijalankan oleh Allah terhadap manusia ialah untuk menguji kebenaran iman yang ada di dalam dada mereka. Dengan adanya ujian akan dapat membuktikan kebenaran atau kepalsuan iman seseorang.  Firman Allah : Maksudnya: Apakah manusia menyangka mereka bebas berkata bahawa mereka telah beriman sedangkan mereka tidak diuji (Al-Ankabut : 2)

Ulamak menyimpulkan ujian yang diberikan oleh Allah kepada manusia ada tiga bentuk iaitu dalam bentuk tanggungjawab dan amanah, nikmat dan kesusahan. Ujian dalam bentuk tanggungjawab dan amanah diberikan untuk melihat samada manusia berjaya menunaikannya atau tidak. Manusia diuji dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, agama dan terhadap alam seluruhnya. Ujian dalam bentuk nikmat pula diberikan untuk melihat samada manusia bersyukur atau kufur terhadap Allah. Antara nikmat yang kerap kali disebut oleh Rasulullah s.a.w ialah nikmat usia muda, masa lapang, ilmu dan harta kekayaan. Manakala ujian dalam bentuk kesusahan diberikan untuk melihat samada manusia sabar menanggungnya ataupun keluh kesah serta berputus asa. Kesusahan yang dialami oleh manusia kadang-kadang berbentuk kurang harta, ditimpa bencana dan melapetaka serta dizalimi oleh orang lain. Kesenangan dan kesusahan sebagai ujian dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda menyamakan antara orang faqir yang bersabar dan orang kaya yang bersyukur (Al-Maidani, Abdul Rahman, 1995).

Mempunyai musuh ketika di dunia.
Memang sudah menjadi hikmah Allah Taala dan bersesuaian dengan konsep ujian di dunia, manusia tidak dibiarkan begitu sahaja untuk mengikut dan mematuhi kehendak peraturan dan disiplin syariat yang telah digariskanNya. Sememangnya dari asal lagi manusia telah membuat perakuan di hadapan Allah bahawa Dia adalah Tuhan yang sebenar dan tidak ada tuhan lain selain daripadanya. Sekali pandang apabila manusia sudah membuat pengakuan sebegitu maka sudah pasti dia akan mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Akan tetapi, jika kita perhatikan realiti yang berlaku di dunia ialah kebanyakan manusia tidak berjaya melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.

Kegagalan manusia mematuhi perintah Allah samada dalam bentuk suruhan atau larangan ini adalah disebabkan oleh manusia itu sentiasa berdepan dengan musuh yang senitasa berusaha menghalangnya daripada mengikut jalan Allah yang lurus. Antara musuh manusia yang telah dinyatakan oleh Al-Quran dengan jelas ialah iblis atau syaitan (Muhammad Jamaluddin, 1996). Firman Allah mengisahkan episod permusuhan ini di dalam Al-Quran setelah Dia mengesahkan bagaimana Iblis diusir daripada syurga diakibatkan keangkuhannya daripada sujud hormat kepada Nabi Adam : Maksudnya: Iblis menjawab: “ Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalangi mereka daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat) (Al’A’raf: 16-17)

Oleh kerana pengistiharan perang oleh iblis terhadap keturunan Adam, maka Allah telah memberitahu bahawa syaitan adalah musuh mereka yang nyata dan memerintahkan mereka menjadikannya sebagai musuh. Firman Allah : Maksudnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu. Maka jadikanlah ia sebagai musuh. (Fatir :  6 )

Di dalam surah Yasin pula Allah telah memberitahu manusia bahawa Dia telah membuat perjanjian dengan mereka supaya tidak mengabdikan diri kepada syaitan dan menyatakan bahawa syaitan adalah musuh mereka yang nyata. Firman Allah :  Maksudnya: Bukankah Aku telah membuat perjanjian dengan kamu supaya kamu tidak mengabdikan diri kepada syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata. (Yasin: 60)

Syaitan kerap kali mempergunakan nafsu syahwat yang ada di dalam diri manusia untuk menyesatkan mereka dari jalan Allah yang lurus. Sememangnya di dalam jiwa manusia diciptakan nafsu berkeinginan kepada wanita, kekayaan, anak-anak dan binatang ternakan serta kemasyhuran yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan di dunia. Manusia mempunyai kecenderungan hati kepada perkara yang berlainan antara satu sama lain. Kecenderungan inilah yang dipergunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia dan menghalang mereka daripada melaksanakan perintah Allah dan berjalan di atas jalanNya yang lurus. Oleh itu syaitan dapat memperdaya semua jenis manusia samada manusia berilmu, kaya atau miskin kecuali orang-orang yang mengikhlaskan hati kepada Allah Taala dalam melakukan semua aktiviti (Al-Jauzi, t.th). Firman Allah mengisahkan ikrar syaitan : Maksudnya: Dan aku pasti akan memperdaya mereka semua kecuali hamba-hamba Mu yang ikhlas (Al-Hijr: 40)

Pada hakikatnya syaitan tidak dapat menguasai manusia secara total. Akan tetapi corak kerjanya ialah mempengaruhi dan memperhiaskan amalan-amalan buruk sebagai amalan baik bagi manusia. Kadang-kadang ia berjaya menipu manusia dan kadang-kadang tidak berjaya apabila manusia kembali kepada Allah. Manusia yang memilih untuk mengikut syaitan adalah dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka kerana ia adalah pilihan mereka sendiri. Firman Allah : Maksudnya: Dan berkatalah syaitan tatkala perkara hisab telah diselesaikan :  “ Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepada kamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadap kamu melainkan sekedar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah diri kamu sendiri (Ibrahim: 22) (Al-Maidani, 2000).

Selain dari iblis dan syaitan, manusia juga berdepan dengan tentera-tentera iblis yang lain samada dari kalangan orang kafir atau dari kalangan sesama Islam. Orang kafir terutama dari kalangan orang-orang yahudi dan nasrani sentiasa berusaha untuk menjadikan manusia muslim mengikut jejak langkah mereka kufur kepada Allah (Jalal Alim, 1979). Berbagai bentuk tipu daya dan usaha yang dijalan oleh mereka dalam melaksanakan cita-cita jahat itu. Firman Allah : Maksudnya: Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan senang hati terhadap kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka (Al-Baqarah: 120)

Tentera-tentera sekutu iblis dan syaitan ini kadang-kadang terdiri daripada manusia dan jin. Firman Allah : Maksudnya: Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan yang memelihara dan menguasai manusia. Raja manusia dan Sembahan manusia daripada kejahatan bisikan syaitan yang biasa bersembunyi yang membisikkan kejahatan ke dalam dada manusia dari golongan jin dan manusia (Al Nas” 1-6)

Kecenderungan nafsu yang ada di dalam diri manusia itu sendiri menjadi musuh dan penghalang bagi manusia mematuhi perintah Allah. Ini kerana nafsu itu amat kerap mengajak kepada kejahatan2 dan menghalang manusia daripada melaksanakan perintah dan suruhan Allah. Nafsu manusia sentiasa suka kepada keseronokan, kerehatan dan kesenangan. 

Sumber :
Hasnan Kasan
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...