| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Saturday, October 22, 2011

Wuduk ...

Berwuduk merupakan amalan yang mendasari kesempurnaan ibadah yang pertama sekali dihisab di hari kiamat iaitu ibadah solat. Apabila wuduk seseorang itu tidak sempurna,maka tentunya akan mengurangkan kesempurnaan ibadah solatnya. Bagi orang yang mengubah cara berwuduk tidak sesuai dengan sunnah Rasul, dalam hadis dikatakan bahawa mereka diancam dengan kebinasaan. Melihat kejahilan yang telah melanda kebanyakan umat ini, iaitu kejahilan untuk melaksanakan Al-Islam sesuai dengan sunnah yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kita sebagai umat bahagian terkecil merasa tanggungjawab untuk turut menegakkan Ad-Din ini setakat keupayaan yang kita miliki. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. : ” Sampaikanlah sunnah dari-ku walaupun satu ayat ”. 

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, wuduk bermksud menggunakan air suci ke atas anggota tubuh tertentu yang telah dijelaskan dan disyariatkan oleh Allah S.W.T. Hukumnya wajib bagi orang yang hendak mengerjakan solat , tawaf , membaca Al-Quran dan sebagainya. Bagi seseorang yang berwuduk, maka dia dapat membersihkan anggota-anggota yang terdedah kepada kekotoran, dapat menyegarkan badan dan seterusnya dapat menenangkan jiwa. Selain itu, wuduk juga dapat membersih kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh anggota-anggota tertentu. 

Wuduk boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wuduk wajib dan juga wuduk sunat. Wuduk wajib bagi orang hendak mengerjakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran. Manakala wuduk sunat pula bagi orang yang sudah ada wuduk tetapi ingin memperbaharui wuduknya dan lain-lain. Seseorang itu perlu mengetahui rukun-rukun wuduk, syarat sah wuduk serta perkara yang boleh membatalkan wuduk. Secara keseluruhannya, kesempurnaan wuduk itu amatlah penting bagi seseorang yang bergelar muslim. Hal ini kerana berwuduk itu merupakan amalan yang mendasari kesempurnaan ibadat yang paling agung, ibadah yang pertama sekali dihisab di hari kiamat iaitu ibadah solat kerana sesungguhnya solat itu merupakan tiang agama. Apabila wuduk seseorang itu tidak sempurna, maka tentunya akan mengurangkan kesempurnaan ibadah solatnya.

PENDAHULUAN
Hendak solat mesti ada air solat . Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya “… anak kunci syurga ialah solat , dan anak kunci solat adalah wuduk . Mengambil air solat hendaklah secermat mungkin yang boleh , supaya ianya sempurna dan sebaik-baik wuduk ”. Rasulullah memerintah umatnya supaya mengambil air solat seelok-elok wuduk. Orang-orang yang mengambil air solat yang seelok-elok dengan sempurna-sempurnanya.akan gugur segala dosanya bersama-sama dengan titisan air bekas wuduk yang akhir itu. Selain daripada memperelokkan amalan wuduk itu, eloklah juga terlebih dahulu seseorang itu bersugi ataupun memberus gigi pada tiap-tiap kali hendak mengerjakan solat . Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: “ Jikalah tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku akan suruh mereka bersugi pada setiap kali mahu mengerjakan solat ”. Perintah Rasulullah S.A.W. Itu nampaknya tidaklah wajib, tetapi jika dikira dari segi kemanfaatannya adalah terlalu besar. Hal ini kerana seseorang yang berada di dalam solat nanti bererti sedang menyembah Allah dan sedang membaca kalimah-kalimah Allah yang suci dengan penuh khusyuk. 

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, jika hendak berdepan dengan Allah, kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan suci. Maka, mulut yang bersih dan suci adalah sangat perlu. Allah sangat menyukai hambanya yang sentiasa menjaga kebersihan diri. Jika mulut yang busuk adalah menganggu kekhusyukan dalam mengerjakan solat dan juga tidak disukai oleh Allah S.W.T. ( Ahmad , Haji Fadzil:1995:32). Berwuduk merupakan amalan yang mendasari kesempurnaan ibadah yang paling agung, iaitu ibadah solat yang mana ia merupakan ibadah yang pertama sekali dihisab di hari kiamat. Apabila wuduk seseorang itu tidak sempurna, maka tentunya akan mengurangkan kesempurnaan ibadah solatnya. Bagi orang yang mengubah cara berwuduk tidak sesuai dengan sunnah Rasul, dalam hadis dikatakan bahawa mereka diancam dengan kebinasaan. Melihat kejahilan ini yang telah melanda kebanyakan umat ini, iaitu kejahilan untuk melaksanakan Al-Islam sesuai mengikut sunnah yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, kita sebagai umat bahagian terkecil merasa tanggungjawab untuk menegakkan Ad-Din ini setakat keupayaan yang kita miliki. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W., “ Sampaikanlah sunnah dariku walaupun satu ayat ”. (Abdul Rahman Asy-Syuwayyib,Fahd:2002:1)

PENGERTIAN WUDUK
Wuduk adalah satu sebab yang mengharuskan solat , kerana tiada sah solat itu dengan ketiadaan wuduk. Maka yang dikehendaki dari wuduk itu ialah dengan membasuh anggota-anggota tertentu pada diri seseorang, dengan air yang suci.

WUDUK MENGIKUT ISTILAH BAHASA
Wuduk : Huruf ‘wau’ diharakatkan dengan dhammah yang bererti kata kerja.
Wuduk: huruf ‘wau’ yang diharakatkan dengan fathah mempunyai pengertian air-nya (air untuk berwuduk) dan juga mashdar (asal-usul kata) atau dua istilah yang mengandungi pengertian sama iaitu: keduanya bermaksud mashdar dan kadangkala bermakna air yang digunakan untuk berwuduk.
Dikatakan: Tawadhdha’tu lishsholah (Aku berwuduk untuk solat) dan tawadhdhoit secara istilah (kolokial).

WUDUK MENGIKUT ISTILAH SYARIAT
Iaitu menggunakan air suci ke atas anggota tubuh tertentu sepertimana yang telah dijelaskan dan disyariatkan Allah S.W.T.

PENSYARIATAN WUDUK DARI AL-QURAN
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “ Hai orang-orang yang beriman, apabila hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan basuh kakimu sampai kedua mata kaki.” (Al-Maidah:6)

HUKUM WUDUK
Ia wajib bagi orang yang hendak mengerjakan sembahyang, membaca Al-Quran, tawaf dan sebagainya.

BAHAGIAN-BAHAGIAN WUDUK
Wuduk wajib: Bagi orang yang hendak solat, tawaf, membaca Al-Quran dan sebagainya.
Wuduk sunat: Bagi orang yang hendak memperbaharui wuduknya dan lain-lain.

HIKMAT-HIKMAT WUDUK
Antara hikmat-hikmat wuduk ialah dapat membersih anggota-anggota yang terdedah kepada kekotoran,dapat menyegarkan tubuh badan dan menenangkan jiwa dan dapat membersih kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh anggota- anggota tertentu.

FARDHU DAN RUKUN WUDUK
Antara rukun wuduk yang perlu diikuti oleh setiap umat Islam ialah niat dan lafaznya, “sahaja aku berwuduk kerana Allah Taala”,membasuh sekelian anggota di bahagian muka, kadarnya dari sempadan telinga kanan hingga sempadan telinga kiri dan dari hujung rambut ke hujung dagu, membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku, menyapu air ke kepala sama ada menyapu sebahagian kepala atau sebahagian rambut yang ada di dalam ruangan kepala, membasuh kedua balah kaki hingga ke buku lali, dan akhir sekali tertib iaitu mengerjakan wuduk mengikut susunan tertentu.

SUNAT-SUNAT WUDUK
Sunat bagi orang yang mengambil air sembahyang iaitu sepuluh perkara iaitu membaca Basmallah, membasuh kedua balah tangan hingga ke pergelangan tangan, menggosok gigi, berkumur serta menghisap air ke hidung kemudian mengeluarkannya semula Menyapu air pada keseluruhan kepala dan dua telinga, menyelati anak-anak jari dan tangan serta janggut yang tebal, mendahulukan pihak yang kanan dari pihak yang kiri, membasuh anggota-anggota wuduk sebanyak tiga kali, mengadap qiblat dan membaca doa wuduk, serta doa ketika membasuh anggota wuduk.

SYARAT SAH WUDUK
Antara syarat-syarat sah wuduk ialah,
  • orang yang beragama Islam, 
  • mumayyiz iaitu kanak-kanak yang sudah tahu membezakan buruk dan baik, 
  • suci daripada haid dan nifas, 
  • jangan ada sesuatu yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti getah dan lilin, 
  • jangan ada sesuatu yang boleh mengubah sifat-sifat air, 
  • mengambil wuduk dengan air mutlaq, 
  • dan meratai air ke seliruh anggota wuduk.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK
Antara perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk seseorang itu ialah :
  • keluar sesuatu daripada salah satu saluran najis sama ada qubul atau dubur , 
  • hilang akal atau sebab mabuk atau sebagainya, 
  • tidur dengan ketidaan tetap papan punggungnya di tempat duduk, 
  • bersentuh kulit lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, 
  • bersentuh kemaluan dengan tapak tangan, 
  • murtad iaitu keluar dari agama Islam.

PERKARA-PERKARA MAKRUH KETIKA BERWUDUK
Antara perkara-perkara yang makruh ketika berwuduk ialah bercakap-cakap dan melebih-lebih pada menggunakan air.

MASALAH-MASALAH
Antara masalah-masalah dalam wuduk ialah makruh meninggalkan perkara yang sunat dibuat ketika berwuduk tidak batal wuduk jika lelaki bersentuh dengan gigi, rambut atau kuku perempuan kerana anggota-anggota itu tidak dinamakan kulit, disunatkan mengambil wuduk ketika hendak tidur, harus mengesat anggota wuduk jika perlu, perempuan yang sentiasa keluar darah istihadah handaklah mengambil wuduk setiap kali hendak solat , sunat jangan mengesat air bekas wuduk serta bagi orang yang berjanggut nipis hendaklah menyampaikan air ke kulit dagunya.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, kesempurnaan wuduk itu amtlah penting bagi seseorang muslim itu. Hal ini kerana berwuduk merupakan amalan yang mendasari kesempurnaan ibadat yang paling agung, ibadah yang pertama dihisab di hari kiamat iaitu ibadat solat. Apabila wuduk seseorang tidak sempurna maka tentunya akan mengurangkan kesempurnaan ibadat solatnya. Bagi mereka yang mengubah cara berwuduk tidak sesuai dengan sunnah Rasul, dalam hadis dikatakan bahawa mereka diancam dengan kebinasaan.

Oleh itu, berwuduk itu merupakan kewajipan bagi seseorang yang mahu menunaikan solat, tawaf dan sebagainya. Dalam riwayat dari Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda " Tidak akan diterima solat seseorang yang berhadas sehinggalah dia berwuduk" . Jika seseorang itu mahu berwuduk, dia haruslah mengetahui cara-cara untuk berwuduk.

Terdapat enam rukun wuduk yang telah diriwayatkan dari Sayyidina Usman Bin Affan r.a: [ Riwayat dari Humran ] beliau berkata: Sayidina Usman bin Affan telah meminta air untuk berwudhuk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur seta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu dia membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan. Kemudian menyapu kepalanya kemudian membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri sama seperti membasuh kaki kanannya.

Di samping rukun rukun berwuduk terdapat juga beberapa perkara sunat yang membuatkan wuduk itu lebih baik , antaranya ialah membaca basmallah, menghadap kiblat, membasuh dua tangan, berkumur–kumur, membasuh hidung, membasuh keseluruhan kepala, telinga, menyelat-nyelat anak jari tangan dan kaki, menyelat janggut yang tebal, mendahulukan yang kanan, meniga-nigakan , berturut-turut , dan membaca doa wuduk.

Namun begitu terdapat juga perkara yang boleh membatalkan wuduk. Antaranya keluar sesuatu dari qubul atau dubur , tidur yang tiada tetap, hilang akal dengan sebab tidur, mabuk, pitam, gila dan seumpamanya, bersentuh kulit lelaki dan kulit perempuan dan menyentuh kemaluan manusia dengan tapak tangan serta murtad . Oleh itu marilah sama-sama kita menjaga kesempurnaan wuduk kita supaya solat kita juga mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.

Sumber Maya :
http://az-esei-jan2010.blogspot.com/2010/03/wuduk-dan-perkara-yang-membatalkannya.html

Dari Rujukan.

Abdullah Baldram Ali Baldram, Syeikh Ali. Tuntutan Ibadat (Perukunan Ibadat Sepanjang Zaman), Percetakan Pustaka Muda, Ipoh, Pustaka Muda, 182.

Haji Alias, Haji Johari (1997). Panduan Lengkap Ibadat Solat (Lelaki dan Wanita Bergambar), Jilid 4, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Darul Nu’man, 223.

Fahd, Abdul Rahman Asy-Syuwayyib (2002). Kaedah Wuduk dan Solat Rasulullah s.a.w., Jilid 1, Gais Umar Bawazier, Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, Pustaka Syuhada, 71.

Haji Ahmad, Haji Fadzil (1995). Hidup Ibadat (Edisi Tambahan), Jilid 4,Shahab Perdana, Jalan Sultanah Sambungan, Mergong, Darul ‘Ulum, 156.

Abdul Wajid, Hambali (2002). 357 Hadis Bukhari-Muslim Menuju Kesempurnaan Solat, Jilid 1, Kuala Lumpur, jasmine Enterprise, 283.

1 comment:

Afzainizam said...

Tuntutan Wuduk Secara Sempurna Membolehkan Solat Penuh Khusyuk.

WUDUK YANG SEMPURNA MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Jom Terjah entry terbaru ??
diy polishing crome sportrim

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...