| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Saturday, August 13, 2011

Mencari Lailatul Qadr

Photobucket
LAILATUL QADR merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT : Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam lailatul qadar. Tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatul qadr kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama lailatul syaraf bermaksud malam kemuliaan dan lailatul tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya lailatul qadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud : “ Sesiapa yang ingin mencari lailatul qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh ”.

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud : " Carilah dengan segala upaya kamu malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam akhir bulan Ramadan. "

Jelas dari kedua hadis tersebut bahawa lailatul qadr itu hanya berlaku pada satu malam saja dari bulan Ramadhan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadr dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh lailatul qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut. Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti :
  • Allah menyembunyikan lailatul qadr untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.
  • Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.
  • Allah menyembunyikan solat Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
  • Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)
  • Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa jua bentuk maksiat.
  • Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
  • Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
  • Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimana pun berkaitan dengan lailatul qadar, para ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah :
  • Orang yang berkesempatan melihat malam al Qadr akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadr akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadr akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.
  • Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadr akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al Qadr telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadr akan tetap mendapat ganjaran dari Allah SWT biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu.

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr
Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhoan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.

Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: “ Saya bertanya, “ Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?” Maka ujar Nabi SAW : “ Katakanlah : “ Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan , maka maafkanlah daku ini.

Sumber / Petikan :
WAN MARZUKI WAN RAMLI
Guru Agama Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim (4),
Pasir Mas Kelantan.
www.nurjeehan.wordpress.com

Kitab Feqh As-Sunnah Susunan Sheikh Sayyid Sabiq
www.muzir.wordpress.com

2 comments:

ZORA said...

bsar ujiannya...

Ringgo said...

besar ujiannya maka besarlah ganjarannya ZORA tapi bila berusaha bersungguh2 InsyaAllah tiada yg mustahil dengan izinNYA ..
hidup kita didunia ini satu ujian untuk kita mendapat tempat di akhirat nnt .. panduan telah diberi pd kita , terpulang pd kita untuk mengikut jalan yg mana ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...