| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Wednesday, September 11, 2013

IMAM NAWAWI DAN SULTAN AL-MALIK AL-ZAHIR

 
Makam Imam Nawawi di Nawa , Syria .


IMAM NAWAWI atau nama penuhnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi (631 -676H) ialah anak kelahiran Damsyik, Syam (Syria). Menghafaz Quran sejak dari kecil,  beliau dilapor mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu  agama. Antara buku karangan ulama terkenal Mazhab Shafie ini adalah Syarah Sahih  Muslim dan Riyadus Salihin.

Sepanjang hayatnya, Imam Nawawi telah menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada  agama Islam dan umatnya. Ketegasannya dalam menyampaikan kebenaran Islam tiada tolok  banding pada zamannya. Sebagai ulama yang memimpin umat, beliau memfatwakan kebenaran  tanpa rasa takut walaupun akibatnya merugikan kedudukan dan mengancam nyawanya.

Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan  peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah  mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu  digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan  perang melawan musuh.

Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun  baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya.

Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau.  Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong  fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu.

"Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba  tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah  kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang  hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita  milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

"Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka  tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk  membenarkan kamu mengambil harta rakyat."

Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Al-Zahir mengambil harta rakyat  selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan.

Sultan Al-Malik Al-Zahir begitu murka apabila mendengar fatwa itu sehingga sesetengah  riwayat melaporkan, para ulama yang hadir mengangkat jubah masing-masing kerana  takutkan percikan darah terkena hujung jubah mereka jika Sultan memancung kepala Imam  Nawawi.

Namun Sultan mengeluarkan perintah supaya Imam Nawawi segera keluar dari Damsyik.  Akur dengan perintah itu, beliau membawa diri ke Nawa. Para ulama Syam berusaha  menjemput Imam Nawawi kembali ke Damsyik namun beliau enggan selagi Al-Zahir memegang  tampuk pemerintahan.

Begitulah keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat dan  kedudukan kerana tidak rela mengorbankan kebenaran Islam.

Kisah di atas turut menjelaskan tentang kewajipan kerajaan yang sedang berhadapan  dengan krisis dan setakat mana kepentingan rakyat perlu dikorbankan semasa negara  mengalami krisis. Pemerintah yang adil, amanah dan bertanggung jawab sudah pasti  mengutamakan rakyat dan tidak mengorbankan kepentingan rakyat.

Dalam menghadapi kemelesetan ekonomi sebagai contoh, kerajaan perlulah mencari kaedah  terbaik bagi mengelak rakyat menghadapi kepayahan hidup dan tidak mencari jalan  pintas dengan membebankan rakyat. Apatah lagi jika kemelesetan ekonomi itu berpunca  daripada amalan berbelanja kerajaan (yang boros), rasuah, penyelewengan dan kegagalan  mengurus tadbir negara dengan baik.

Rujukan :
Harakah - Tulisan Ahmad Tajdid

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...