Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana kita masih lagi dipanjangkan umur dan masih berada dalam nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Setelah Syawal meninggalkan kita dengan sejuta keberkatan daripada Allah S.W.T, kini kita telah berada di dalam bulan Zulkaedah. Setiap bulan Islam tentu ada rahsia yang perlu dicungkilkan untuk tatapan umatnya supaya setiap sejarah dan sorotan peristiwa menjadi pedoman dan iktibar untuk perjalanan hidup terutama pada masa kini.
PENGENALAN
Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat.
Sejak
dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah
mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang
mulia dan diharamkan berperang.
Maka
masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain
Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (
bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ).
Dan
setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat
bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya.
Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".
Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Zulkaedah
1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan
ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah
ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW
bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan
Bani Quraizah.
Bani
Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan
tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW
yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah
tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka
menyerah kalah.
2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa
ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara
sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan
kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat
pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan
menunaikan ibadah umrah.
Hasil
pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang
sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan
Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah
tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang
boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi
pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi
Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang
tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah,
bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.
Dalam
perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy
dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia
membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah".
Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan
mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan
gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.
3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa
ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW
telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa
rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan
umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa
waktu oleh orang-orang Quraisy
Dalam
pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin
Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad
SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal
diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".
Kemudian
Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di
bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah
satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para
sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang
orang-orang kafir Quraisy.
Para
sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari
meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian
yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah
SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata :
"Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".
Setelah
pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang
Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW
bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.
4. Berlakunya Haji Wida'
Pada
tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan
Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida'
(Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.
Haji
tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi
baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan
empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.
5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama
lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul
Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali.
Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22
Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa
dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.
Apabila
umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur
bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil
berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau
juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan
sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang
menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau
meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328
Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20
hari.
Beliau
menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam
keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak
dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau
diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.
KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH
Bulan
Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan
yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian
dan kemaafan. Masyarakat
kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram
maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan
haram ini. Eratkan
silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah
dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan
harmoni.
Tiada
ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan
permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan
bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan
Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan
haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.
Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya
zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan
bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan
haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara
Jamadil Akhir dan Sya'aban.
Sumber : http://ubs-pmram.blogspot.com
Sumber : http://ubs-pmram.blogspot.com
No comments:
Post a Comment