| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Sunday, May 29, 2011

Baling , Kedah Darul Aman .

Photobucket

SEJARAH BALING

Si Raja Bersiung naik angin. Manis darah manusia membuat nafsunya membuak. la juga buat baginda jadi tidak keruan. Satu persatu rakyatnya jadi korban untuk titisan darah bagi memuaskan serakahnya. Lalu, dengan penuh kesungguhan, baginda mencabut dua siungnya. Dicabut, sekuat hati dan akhirnya siung yang pernah memuaskan nafsu namun digeruni manu­sia itu, tercabut dan dibaling jauh. Mitos barangkali, namun kesannya abadi. 

Setidak-tidaknya Kedah. sendiri, yang mana beberapa nama tempat dikaitkan dengan lagenda Raja Bersiung atau namanya, Ong Maha Pertia Deria yang dipercayai pemerintah semasa era Pra Islam Kedah. Pusing, misalnya tempat dikatakan di mana baginda memusing dan mencabut siungnya selepas digulingkan pegawai dan rakyat yang marah dengannya. Siong, sebuah bandar kecil yang seperti diduga, sempena gigi siungnya dan Baling, tempat baginda membaling giginya itu. Sehebat mitos Raja Bersiung, 
Baling juga mencatat sejarah pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra, ketika itu Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya di sebuah Sekolah Inggeris pada Disember 1955, sebelum dia menjadi Perdana Menteri Pertama. la juga mencatat sejarah perjuangan penuntut Universiti Malaya berhubung nasib penoreh getah Melayu Baling yang miskin pada tahun 70an. 
Baling juga dipilih sebagai pengasas Sekolah Model Khas di Kedah yang meng­gabungkan Tahap II Pendidikan Rendah iaitu bermula darjah 4 dan Pendidikan Menengah, satu konsep baru dalam menye­diakan kemudahan fizikal yang kondusif untuk meningkatkan mutu dan menambah peluang pendidikan kepada pelajar berpotensi dari kawasan Baling dan Sik. Sekolah itu, terletak di Charuk Nau, didirikan di kawasan seluas 29 ekar dan dibina dengan anggaran kos RM14,649 juta, merangkumi kelas, asrama dan riadah. Dan hari ini, ia yang dikategorikan sebagai Sekolah Menengah Harian Gred A sejak beroperasi pada Jun 1999 dilihat membantu membangun dan menyerlahkan potensi pelajar luar bandar yang kurang bernasib baik dari segi kemudahan dan peluang pendidikan. 
Kini, sebagai tumpuan pendidikan dan menyerlahkan potensi anak Kedah, berbeza dengan imej Baling semasa pra perang dulu yang terpencil serta terkenal sebagai tempat perlindungan untuk pelarian. Cuma, jika bukan kerana mitos Raja Bersiong sekali pun, Baling hakikatnya memang kaya dengan kesan peninggalan sejarah selain memiliki keindahan alam semulajadinya. 
Baling, sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu bandar lama dan baru, Bandar Lama di Jalan Sharee, sehingga kini masih mengekalkan seni bina lama, antaranya bangunan baru dan kayu rumah kedai dua tingkat yang kebanyakannya dimiliki peniaga Cina. Baling baru, dikenali sebagai Pekan Baru di Jalan Syed Sheh 3 pula dipenuhi seni bina moden seperti bangunan Majlis Daerah Baling yang antaranya menempatkan Pejabat Pas, kafe internet, pusat komputer, kedai pakaian dan barangan elektrik. Baling juga tidak ketinggalan sebagai tumpuan utama untuk penduduk membeli­belah seperti di Pasaraya Sakan dan Kedai Serbaguna RM1.90. Setiap Rabu pula, Baling seperti berpes­ta kerana adanya Pasar Tani yang menjadi medan pengumpulan hasil barangan kam­pung untuk jualan. la yang terletak di Pekan Baru, Jalan Syed Sheh bermula seawal jam 8 pagi sehingga jam 2 petang. Ramai penjual ubat juga mengambil kesempatan mempromosikan ubat-ubatan mereka. Gelagat dan persembahan pen­jual ubat menjadi tarikan penduduk tem­patan serta pelancong.
Tidak sukar untuk menjamu selera ker­ana Baling 'bersepah' dengan gerai makanan, atau lebih senang, anda boleh memilih ke Medan Selera.

NAMA DAERAH : Baling
KELUASAN : 1530 kilometer persegi
PENDUDUK : 124,947 (banci 2000)
MUKIM : Siong, Baling/Bongor, Pulai, Kupang, Tawar, Teloi Kanan, Bakai,
JKKK : 181
MASJID : 63
SEKOLAH : Sekolah Menengah Agama Baling
Sekolah Model Khas
Sekolah Menengah Kebangsaan (11 buah)
Sekolah Rendah Kebangsaan (44 buah)
SR Jenis Kebangsaan Tamil (8 buah)
SR Jenis Kebangsaan Cina (7 buah)
HOSPITAL : sebuah
KLINIK DESA : 31 buah
PUSAT PENTADBIRAN : Pejabat Daerah Baling
PEGAWAI DAERAH : Dato'Noh Bin Dahya

BALING terkenal dari sudut sejarah kerana pertemuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan wakil pengganas komunis. Pertemuan yang memberi peryataan kepada dunia akan tegasnya pendirian kita sama sekali tidak mengiktiraf parti itu. Walaupun peristiwa itu tertinggal sebagai sejarah namun itulah titik tolak yang menentukan kedudukan dan nasib kita hari ini. Itulah Baling dengan sejarahnya sehingga dipantunkan orang:

Bukit Baling pekannya indah.
Tempat Chin Peng bertemu Tunku
Adik menjeling hatiku gundah
Entah bila jodoh bertemu

Namun sebagai sebuah daerah dalam negeri Kedah, Baling kini sedang mengorak langkah ke arah melengkapi ciri-ciri pembangunan apabila Kedah mencapai kemajuan pada tahun 2010 nanti. Faktor penting iaitu pelancongan dan pertanian menjadi tumpuan dalam menggerakkan pembangunannya. Daerah yang kaya dengan keindahan alam semula jadi Baling mahu dikenali sebagai daerah yang menjana pelancongan di negeri Kedah bahagian darat ini.

Projek pelancongan Air Panas Ulu Legong bermula tahun 1980 telah berjaya menggamit ramai pengunjung seluruh negara. Jaraknya hanya 18 kilometer dari pekan Baling. Antara kemudahan yang dibina di kawasan ini selain empat kolam air panas ialah toilet (persalinan), pump house and store, wakaf, pergola, pavillion (surau lelaki dan wanita), jambatan, pondok kawalan dan gerai jualan cendera mata. Projek fasa 1 ini menelan belanja sebanyak RM 1,289,577.87. dan siap pada awal 1996.

Bagi memenuhi keperluan pengunjung luar kerajaan merancang menyediakan kemudahan penginapan. Projek ini termasuk dalam Fasa 11 dengan peruntukan sebanyak RM 574,898. yang siap sepenuhnya pada Mac tahun lalu. Antara yang dibangunkan ialah enam unit chalet, gerai makan, tiga buah wakaf dan tapak khemah.

Berikutan itu di bawah Projek Pembangunan Pelancongan Rancangan Malaysia ke 8 Taman Rekreasi Air Panas ini mendapat peruntukan lagi sebanyak RM2,000,000. bagi mempertingkat dan melengkapkan lagi kemudahan yang ada berdasarkan kebanjiran pelancong yang mencecah 3,000 pada malam-malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Penduduk sekitar memberi kemudahan tempat meletak kereta yang mendatangkan sumber rezeki kepada mereka di samping Kampung Keda yang dijadikan sebagai Homestay.

Keunikan daerah ini satu-satunya di Kedah kerana mempunyai perkampungan orang asli di kiri dan kanan jalan ke peranginan ini. Penduduk berkenaan berjumlah 216 orang dengan 60 buah rumah dari rumpun Kensiu. Perkampungan ini ada pontensi dimajukan sebagai produk pelancongan dengan beberapa kegiatan yang akan disusun. Di sini juga terdapat Dusun Kelompok Kampung Baru Ulu Legong. Pelbagai buah-buahan bermusim terdapat di sini dengan penambahan dokong (50 ekar), durian (200 ekar), rambutan seluas 100 ekar.

Sebuah kawasan air terjun ditemui iaitu Lata Gading Ulu Legong yang jaraknya hanya 2.5 kilometer dari Peranginan Air Panas. Ini melengkapkan lagi pakej pelancongan Ulu Legong. Banyak kegiatan boleh dilakukan apabila dimajukan nanti. Antara kegiatan yang sudah dikenalpasti ialah jungle tracking, pemandian, kajian botani/perhutanan dan hidupan luar.

Peranginan air terjun lain dalam daerah ini ialah Lata Celak Iboi, Mukim Kupang, Lata Bayu Asam Jawa Mukim Pulai dan Peranginan Bukit Hijau. Ciri-ciri yang ada di sini adalah sama dengan kebanyakan lata lain. Setelah dibangunkan kini menjadi kunjungan ramai terutama penduduk kota di hujung minggu, bersama keluarga dan berkumpulan dengan purata sebanyak 3000 pengunjung. Kerajaan telah menyediakan kemudahan di tempat-tempat ini untuk keselesaan orang ramai mengadakan kegiatan di sini.

Kerajaan menyedari akan kepentingan jalan perhubungan, bukan sahaja untuk kemudahan penduduk tempatan malah memudahkan kedatangan pelancong. Jalan Baling ke Pengkalan Hulu dinaikkan taraf dengan peruntukan sebanyak RM 15,353,026.55 telah siap pada akhir tahun 1999. Sebanyak RM 90 juta telah diluluskan untuk membina jalan Timur Barat Pakej 1V Kampung Kangar ke Kuala Roi siap pada tahun 2004. Selain sebanyak RM 30 juta telah diluluskan untuk membina jalan dari Baling ke Kupang.

Pendidikan merupakan unsur penting bagi menukar corak kehidupan rakyat dalam menghadapi Kedah Maju 2010. Daerah ini akan mempunyai sebuah Kompleks Perpustakaan Awam bernilai RM 2.776 juta yang sedang jalan pembinaan dijangka siap pada awal tahun depan. Dewan Perhimpunan SMK Kuala Ketil 11 bernilai RM 1,500,000. telah siap pada Disember 2001. Turut mendapat Dewan Perhimpunan baru ialah SMK Tunku Putera yang bernilai RM1,331,600.

Para pelajar SMK Parit Panjang mendapat kemudahan asrama bernilai RM1,786,719. Yang dijangka siap pertengahan tahun ini. Lain-lain sekolah mendapat blok tambahan SRK Kuala Samak, SRK Lanai, SRK Pulai, SRK Syed Syeikh Kupang, SRK Ulu Tawar, SMK Baling, SMK Kuala Pegang, SRK Kampung Padang dan SRK Bakai. Manakala guru-guru juga tidak dilupakan kemudahan penginapan mereka. Beberapa blok tambahan dan rumah guru. Semunya berjumlah RM 24,793,019.

MUKIM KUPANG
Bilangan Rumah : 5841 buah
Jumlah Penduduk : 26235 orang
Jumlah JKKK : 40 buah
Keluasan (km persegi) : 199.25
Kepadatan Penduduk(km persegi) : 129
Penduduk terdiri daripada Melayu,Cina,India,Siam dan Lain-lain. Pembangunan pekan Kupang dijalankan dalam 2 pakej iaitu pada tempoh 21/1/1987 hingga 30/7/1989 dengan kos sebanyak RM 5 979 498.71

Kemudahan Awam
Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Mukim Kupang adalah seperti:
Balai Polis-1buah
Pondok Polis-1buah
Pusat Kesihatan Besar-1 buah
Klinik Desa - 4 buah
Telefon Awam -98 buah
Padang Permainan-3
Dewan Orang Ramai-6 buah
Masjid dan Surau

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...