| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Sunday, July 10, 2011

Bani Israil dakwa golongan mereka sahaja betul

Photobucket

RAFI’ bin Huraimilah tidak beriman dengan Nabi Isa a.s. dan Injil. Dia mengaku hanya Nabi Musa sahaja yang benar, sedangkan orang-orang Kristian tidak benar. Berkata pula rombongan daripada Najran; “ Golongan kamilah yang benar , manakala golongan kamu tidak benar dan telah ingkar kenabian Nabi Musa sahaja serta kitab Taurat.”

Lalu Allah SWT menurunkan firman- Nya yang disebut terdahulu yang menjelaskan orang-orang Yahudi mengatakan bahawa orang-orang Nasrani tidak ada apa-apa pegangan yang sebenar pada hal mereka itu semuanya membaca kitab. Mengapa mereka tidak membuka kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.? Kalaulah mereka itu buka kitab Injil nescaya terbuktilah siapa yang salah. Tetapi mereka tidak berani membuka kitab kerana apabila mereka melakukannya, maka akan terbukti kesalahan mereka.

Allah berfirman maksudnya: “ Begitulah juga orang-orang yang tidak mengerti bercakap seumpama percakapan mereka itu.” (Al-Baqarah ayat 113) Ini termasuk manusia pada zaman sekarang yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia membuka al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW untuk menjadi bahan rujukan. Golongan ini termasuklah di dalam keterangan firman Allah SWT di mana Allah mengatakan begitulah juga (Allah SWT sebut tanpa berselindung lagi), berkata orang-orang yang tidak mengerti seumpama kata orang Yahudi dan Nasrani.

Masing-masing mendakwa diri masing-masing betul dan mereka tidak bersedia untuk balik kepada kitab Allah. Memang Allah SWT bersifat dengan Maha Mengetahui dan sememangnya manusia yang jenis seperti itu keras hati, tidak bersedia untuk menerima kebenaran dan petunjuk daripada Allah SWT.

Jawapannya ialah firman Allah yang bermaksud: “ Maka Allahlah yang menghukum di kalangan mereka pada hari kiamat.” (Al-Baqarah ayat 113)

Jika semua mahu berdegil, maka tunggulah kiamat dan kita semuanya akan mati tidak kira apa jenis fahaman kita, sama ada yang berpihak kepada kebenaran atau kebatilan. Sekiranya semua berdegil maka tunggulah Allah menjadi hakim pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang muktamad pada apa-apa yang mereka perselisihkan. (Ayat 113 surah al-Baqarah)

Mereka itu akan kembali kepada Allah dan Dia sahaja yang akan memberi keputusannya. Inilah apa yang berlaku diatas dunia hari ini. Orang Komunis berkata fahaman komunis sahaja yang betul, orang yang pakar undang-undang manusia mengatakan undang-undang manusia betul dan mereka pula berbalah sesama sendiri.

Kita yang mahu kepada Islam pula mengatakan bahawa Islam sahajalah yang betul manakala mereka pula mengatakan Islam tidak betul. Ada pula yang membahagikan Islam kepada berbagai-bagai jenis dan bentuk rupa.

Pertelingkahan golongan hak dan batil
Ada yang mengatakan bahawa kalau kita mahu kepada Islam, kita mestilah Islam semua sekali termasuk solat, puasa zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mesti mengikut hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Ada pula yang mengatakan bahawa kita laksanakanlah sekadar Islam yang kita mahu melaksanakannya, manakala hukum atau peraturan yang kita rasa tidak mahu melaksanakannya, tidak mengapa ditinggalkan. Ada yang mengatakan inilah yang betulnya. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku di kalangan Yahudi dan Nasrani dan inilah juga pertelingkahan yang berlaku di kalangan orang yang tidak mengerti dan tidak tahu akan agama Allah, maka semua mereka akan ditemukan oleh Allah pada hari kiamat.

Semua mereka akan dibicarakan di hadapan Allah pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab pada zaman Nabi Muhammad SAW. juga mengakui bahawa mereka di atas jalan yang hak walaupun mereka menegakkan benang basah.

Walaupun apa yang mereka tegakkan itu suatu yang batil, mereka tetap mengatakan ia adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah hari kiamat. Hari kiamat itu pasti berlaku. Sekiranya manusia ini percaya kepada hari kiamat, dia akan gerun. Apabila manusia itu gerun dia akan kembali kepada kitab Allah, kepada hukum Allah.

Dia tidak mahu berdegil kalau dia bersalah, maka dia akan kembali ke jalan yang sebenar. Kalau dia betul maka dia akan bersyukur kepada Allah SWT, kalau seseorang itu tidak berapa percaya kepada hari kiamat, maka beratlah hukuman ke atasnya di akhirat kelak. Ataupun hari kiamat dia percaya juga tetapi hari kiamat itu dia pandang ringan sahaja sebab hari kiamat tidak dapat dilihat dengan mata kepalanya pada hari tersebut. Dengan keadaan seperti itu, maka ramailah orang yang berdegil dan tidak bersedia untuk kembali kepada yang hak.

Tunggulah, masing-masing akan menerima akibatnya pada hari kiamat. Yang benar, akan menerima balasan kebenarannya dan yang tidak benar akan menerima akibat kebatilannya pada hari itu.

Firman Allah SWT dalam ayat 114 dan 115 surah al-Baqarah yang bermaksud: “ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. (114) Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri ( ke kiblat untuk mengadap Allah ) maka di situlah arah yang diredai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa mengetahui.” (115)

Buku kuliah Tafsir ‘Usaha Jahat Yahudi’ oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 
Muka surat 25-30, 
Terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...