Kehidupan didunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yg cukup mahir terdiri daripada para anbiya dan juga rasul a.s dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga kiamat.
Justeru Tuhan telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun didataran Mashyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang dikurniakan oleh Allah SWT .
Para rasul sudah menyediakan garis panduan yg selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat yg mesti dilalui oleh manusia. Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yg lurus, para rasul juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yg berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yg bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan.
Firman Allah SWT didalam surah Al-An’aam ayat 153 yang bermaksud; “ Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan)kamu dari jalan –Nya . Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.”
Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yg lurus andainya masih ada juga yg menyimpang ke jalan yg membawa mereka ke arah kesesatan, tiada siapa yang patut dipersalahkan , kecuali mereka patut menyalahkan diri sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah yang telah disediakan di sepanjang jalan itu.
Ketika manusia terdampar didataran Mashyar jutaan tahun ( menurut ukuran masa dunia ), dikala mengharungi kesengsaraan yg amat dashyat, ramai dikalangan penghuni Mashyar yg terkenangkan kampung halaman. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu. dan bersikap dingin keraan seruan dakwah oleh para ulama terhadap para penyeru ke jalan Allah.
Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mashyar teringatlah dia kebenaran hari Qiamat yg diberitahu oleh para Rasul dahulu.Dalam ratapan ahli Mashyar, merintih merayu kepada tuhan agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang digambarkan didalam Al-Quran surah As-Sajadah ayat 12;yang bermaksud :
“ Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-oranng yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia),kami akan mengerjakan amal soleh , sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin ”.
Kesedaran yg terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berfaedah, kerana planet bumi untuk tempat kembali seperti yg dirayu oleh ahli Mashyar itu sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka abai terhadap kesempatan yang tuhan berikan untuk hidup didunia dahulu?
Rasulullah SAW bersabda yg bermaksud : Dihari akhirat Tuhan akan bertanya kepada setiap manusia : Hai manusia, bukankah Aku telah kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang? Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan."
Empat soalan penting yg di kemukakan oleh Allah SWT diakhirat ialah yg pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya taflik syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul suruhan dan larangan yg terkandung didalam syariat.
Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru mengenai panduan , kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan kehidupan yang lurus.
Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah SWT dihari Mashyar kelak.
Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua , bererti Tuhan telah mengurniakan umur yg panjang. Mengharungi kehidupan yg panjang bererti lebih banyak peranan yang harus di pikul. Sebagai individu insan, berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yg berasaskan ilmu wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.
Sebagai ketua keluarga dia adalah ‘murabbi’, yang memikul peranan dan tanggungjawab memimpin rumahtangga , mengasuh keluarga dengan didikan berasas ketaqwaan. Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam, atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?
Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hamba-Nya yang diciptakan dimuka bumi ini. Manusia yg mempunyai peranan sebagai khalifah, adalah makhluk istimewa yg dikurniakan berbagai kekayaan dunia, samada kekayaan yg terpendam diperut bumi, kekayaan dilautan, kekayaan didaratan dan juga kekayaan di udara.
Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yg mesti dipergunakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Bagaimana cara mendapatkan kekayaan harta tersebut,samada dgn cara betul dan halal atau cara yg terlarang.Untuk apa pula dipergunakan harta yg melimpah ruah, adakah utk menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun, samada Qarun klasik atau Qarun moden.
Segala yg bersangkutan dengan harta kekayaan Allah kurniakan itu, adalah diantara soalan yg mesti dijawab didataran Mashyar kelak. Harta halal yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang masuk syurga sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api pembakar untuk dirinya sendiri didalam neraka (wal iyazu billah)
Persoalan ke empat didalam hadith Nabi SAW itu ialah mengenai ilmu.Tuhan bertanya `Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu? Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan'?
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa mengatasi makhluk yang lain hatta malaikat sekalipun, tidak lain kerana manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Justeru itu manusia adalah makhluk sejak dari manusia pertama iaitu Adam a.s.
Firman Allah didalam surah al-Baqarah ayat 31: ” Dan Dia mengajarkan kepada Adam (ilmu) nama-nama ( benda ) seluruhnya , kemudian mengemukakan kepada Malaikat lalu berfirman “ Sebutkanlah kepada –Ku nama benda–benda itu jika kamu memang dari golongan yang benar ”.
Ternyata cabaran Allah SWT terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam a.s itu tidak dapat disahut oleh Malaikat, sebagaimana pengakuan Malaikat yang dinyatakan oleh Al-Quran surah al-Baqarah ayat 32; yang bermaksud :
“ Mereka menjawab : Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana ”.
Allah SWT mengiktiraf orang-orang yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah telah mengangkatnya ke satu martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah didalam surah Al-Mujaadilah ayat 11; yang bermaksud :
" Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat ”.
Di samping itu,Allah SWT juga menyifatkan orang yang jahil itu sebagai seteru-Nya seperti yang di perjelaskan oleh sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Orang alim itu adalah kekasih Allah sekalipun dia fasiq, sementara orang yang jahil itu adalah seteru Allah meskipun dia seorang ‘abid' ".
Meskipun demikian Tuhan akan persoalkan juga tentang ilmu yg di kurniakan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya, kerana ilmu juga boleh digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat manusia . Sebaliknya ilmu juga boleh disalah gunakan, hingga mendatangkan malapetaka dan kebinasaan terhadap manusia sendiri. Terlalu banyak contoh manusia binasa oleh ilmu.
Demikianlah diantara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di hari Mashyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya tidak akan terkecuali walau sedikitpun.
Firman Allah SWT didalam surah AL-Hijr ayat 92-93 yang bermaksud : " Maka demi Tuhanmu Kami pasti akan menyoal mereka semuanya tentang apa yang telah mereka kerjakan dulu ".
Soalan dihari Mashyar bukanlah soalan bertaraf ijazah yang bagaimana sulit pun pasti akan dijawab oleh mereka yang menguasai ilmu.
Sesungguhnya soalan di dataran Mashyar tidak akan terjawab oleh lidah, lantaran itu lidah yang petah tidak mendatangkan manfaat lagi. Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap indera , iaitu tangan-tangan mereka , sementara kaki pula akan menjadi saksi bagi mengesahkan pengakuan yang telah mereka lakukan.
Firman Allah SWT didalam surah Yasin ayat 65; yang bermaksud : " Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan ".
Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota lain saling membuat pengakuan terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di dunia dahulu ..
5 comments:
amat menakutkan bila teringat tentang dataran Mashyar..bila mulut n lidah ditutup dr berkata2..
tak boleh nak bayangkan dgn amal yg dhoif dan umor semakin hilang ni ..
bekalan yg sedikit ke akhirat nnt ..
dunia hanya esok lusa saje ..
pada masa itu semua apa yang kita lakukan semasa di dunia akan di hisab satu persatu dan anggota2 badan kita akan menjadi saksi kita di sana...masha allah...
ble nce entri ni..rasa mula takut dgn amalan2 jahat yg telah dibuat...ermmm.....
tul khai selepas mati terputuslah amalan kita didunia ni ..
di akhirat hanya menunggu hari hisab dan pembalasan saja..
semua yang baek & sebaliknya akan terbuka/terdedah nnt ..
dosa kecil , dosa besar akan dikira juga dan tak terkurang walau sedikitpun ..
alhamdulillah zora .. boleh rasa takut lagi .. dan lagi kalau nak perbaiki mana yg kurang ..
ada orang yg tak rasa apa2 pun ..
Post a Comment