| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Friday, October 4, 2013

Solat Jumaat kali Pertama di Masjid yang baru siap 4 Oktober 2013

 
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya
 





Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
            Kepimpinan dan pembinaan tamadun merupakan suatu yang berkait rapat antara satu sama lain. Bila kita membaca sejarah sesuatu kerajaan maka topik utama perbincangan banyak berkisar tentang pemimpin, corak pemerintahan dan kejayaan atau kegagalannya dalam membina tamadun. Oleh itu Islam begitu mengambil berat tentang masalah kepimpinan dan cara pembinaan tamadun agar selari dengan kehendak syarak. Islam bukan hanya mahu tamadun kebendaan sahaja ditegakkan sedangkan tamadun rohani dipinggirkan. Umat Islam sentiasa diperingatkan tentang ikatan antara kebahagiaan dunia akhirat, dosa pahala, Syurga Neraka agar kita sentiasa memastikan setiap tindakan kita termasuk dalam memilih pemimpin dan pembinaan tamadun mesti mengikut kehendak wahyu bukan tunduk kepada hawa nafsu. Dunia diberi oleh Allah kepada sesiapa yang mencintai Allah dan memusuhiNya sedangkan agama hanya dianugerahkan kepada hamba Allah yang mencintai Allah. Oleh itu kita sedar bahawa tujuan kita memilih pemimpin bukan untuk mendapat habuan dunia semata-mata sebaliknya kita memilih pemimpin dari kalangan orang yang mampu membangunkan Tamadun dunia dan rohani berdasarkan agama. Tidak ada pemimpin yang mampu membina Tamadun Kebendaan dan Rohani secara serentak berdasarkan agama melainkan orang yang kenal Allah dan mencintai Allah. Antara contohnya ialah pemimpin yang mengatakan judi adalah haram maka kedai judi tidak diberikan lesen untuk beroperasi agar rakyat terjaga daripada keruntuhan akhlak. Kita tidak tertipu dengan pemimpin yang hanya berbangga kerana membuka perbankan Islam sedangkan dia sendiri begitu seronok dengan sistem riba. Kita wajib memilih pemimpin yang sentiasa berusaha dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya solat 5 waktu sehingga banyak program tarbiah dilaksanakan agar rakyat betul-betul menjaga solat. Kita wajib menolak pemimpin yang hanya tahu mengeluh apabila lahirnya ramai anak zina, keruntuhan akhlak akibat hiburan melampau sedangkan pintu zina diberi lesen samada kelab malam, rancangan tv, program hiburan melampu sehingga tak cukup artis tempat maka berjuta wang dibazirkan untuk menjemput artis luar negara. Bijak mengundi bawa bahagia, Silap mengundi bawa derita dunia akhirat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِ‌مَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَ‌بُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ‌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
           Kisah ini juga memberi peringatan agar kita jangan terpedaya dalam memilih pemimpin hanya berdasarkan keturunan dan kekayaan semata-mata kerana ia tidak menjamin kebahagiaan hidup dunia apatah lagi di akhirat nanti. Ingat pesanan berharga daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah.” Begitu juga Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah telah menggariskan beberapa sebab atau punca yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan antaranya ialah masalah wang atau aktiviti mega yang berbentuk mewah bukan untuk keperluan rakyat sehingga wujudnya pembaziran, pecah amanah, salah kuasa, rasuah yang menyebabkan rakyat memikul bebanan cukai dan kos sara hidup yang tinggi ketika pemimpin terus hidup mewah. Kepincangan dalam menguruskan kekayaan Negara cuba ditutup dengan pemberian habuan yang sedikit kepada rakyat dengan membiarkan masalah rasuah, pecah amanah, pembaziran serta hasil mahsul Negara dibahagi sesama kroni sahaja sehingga yang kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Kita begitu bimbang apabila hutang dalam Negara kita makin membesar akibat pembaziran, pecah amanah, rasuah yang kadarnya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun yang mendekatkan Negara menjadi muflis





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...