| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Saturday, September 17, 2011

Saiyyidina Abu Bakar As-Siddiq

Photobucket
Abu Bakar as-Siddiq ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah [ hamba Kaabah ] tetapi selepas pengIslamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar [ daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda ] kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq [ yang membenarkan ] .

Saiyyidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad SAW. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 , hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah SAW. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya , dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah . Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti , adil , tegas dan memiliki sifat yang terpuji .  Dilahirkan di Mekah pada tahun 572 masihi , 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW . Berasal dari keturunan bangsawan Quraisy , Bani Tamim . Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah. .

Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta , malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut , Saiyyidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Rasulullah SAW bersabda : " Tidak aku membicarakan tentang Islam kepada seseorang, melainkan ia menolak dan membantah perkataanku kecuali Ibnu Abu Quhaafah. Maka sesungguhnya aku tidak pernah mengatakan tentang sesuatu kepadanya kecuali ia menerima dengan teguh di atasnya."  [ HR. Abu Nuaim, Ibnu Asakir ]

Dan dalam firman Allah SWT yang bermaksud " Jika kamu menolong Nabi , sesungguhnya Allah telah menolongnya , ketika orang-orang kafir mengusirnya sebagai orang kedua dari dua orang [ seorang lagi Abu Bakar ] ketika keduanya dalam gua [ bukit Thur ] , ketika dia berkata kepada sahabatnya : Janganlah engkau takut sesungguhnya Allah bersama kita . Lalu Allah menurunkan ketenangan di atas dirinya dan menguatkannya dengan bala tentera yang tidak kamu lihat [ malaikat ] dan Allah menjadikan perkataan orang-orang kafir terbawah dan perkataan Allah tertinggi dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. " [ At-Taubah, ayat 40 ]

Semasa Rasulullah SAW. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saiyyidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam . Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang Khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saiyyidina Abu Bakar dilantik dan menjadi Khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saiyyidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saiyyidina Ali Abi Talib sebagai Khalifah kerana Saiyyidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah SAW. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saiyyidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saiyyidina Ali Abi Talib membaihkan Saiyyidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saiyyidina Ali Abi Talib hanya membaiahkan Saiyyidina Abu Bakar selepas enam bulan.

Peperangan Islam-Riddah
Masalah mula timbul apabila Saiyyidina Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang Khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW. dan memandangkan Rasulullah SAW. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saiyyidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saiyyidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailamah dalam suatu pertempuran.

Ekspedisi ke Utara
Selepas berjaya mengurangkan golongan Riddah, Saiyyidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine [ Rom Timur ] dan Empayar Parsi . Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan Riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan al-Quran
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saiyyidina Umar Al-Khatab [ Khalifah yang berikutnya ] meminta Saiyyidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran . Saiyyidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi Khalifah.

Kewafatan Saiyyidina Abu Bakar
Saiyyidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 Masihi bersamaan 13 Hijriah di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi Khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saiyyidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saiyyidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saiyyidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saiyyidina Umar Al-Khatab sebagai Khalifah yang baru.

Saiyyidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW. di Masjid An-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar
Saiyyidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun [ 632-634 ] , tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.

Rujukan maya :
http://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Bakar_as-Siddiq
http://www.pamiesz.com/2008/01/saidina-abu-bakar-as-siddiq.html
http://surautaalim.blogspot.com/2010/02/kisah-perang-dan-perjuangan-para.html
http://manhaj-salaf.net46.net/pengumpulan-al-quran/
http://p4ceriko-ppc.blogs.smjk.edu.my/2009/07/27/sumbangan-khulafa-al-rasyidin

2 comments:

khairul said...

Ini baru betol pejuang Islam sejati..berani menegakkan syiar Islam.

Ringgo said...

betul tu bro keonn seluruh hartanya dari perniagaan dahulu adalah untuk perjuangan Islam ..
keyakinan beliau pada Rasulullah SAW tiada bandingannya ..
walaupun hanya memerintah dalam masa yg singkat pon bermacam2 kemajuan yang beliau dapat buat sehingga Islam berkembang luas ..
Golongan Riddah ditentang habis2an..
dan tahap keimanan depa ni memang tinggi ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...