| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Tuesday, August 16, 2011

Hanya 2.5% Mampu Menjamin Keberkatan

Photobucket
Fenomena keberkatan sering dikesampingkan tanpa sedar oleh ramai orang. Pengalaman penulis di arena zakat ini, sering benar terjumpa dengan manusia yang berkeluh-kesah tentang kehidupan. Gaji besar tetapi tidak cukup-cukup. Anak-anak menderhaka dan tidak mendengar kata. Suami liar di luar atau isteri sering nusyuz kepada suami. Hakikatnya, ini adalah gejala hilangnya keberkatan. Dalam Islam, ada caranya untuk mencari keberkatan yang ‘hilang’ itu.

Itulah 2.5 peratus (selepas ini ditulis 2.5%). Apakah maknanya? Sebenarnya 2.5% atau menyamai 1/40 itu adalah kadar zakat harta di dalam Islam. Jadi, bagaimanakah 2.5% zakat itu mampu menyumbang kepada keberkatan? Jawapannya mudah, kerana zakat adalah suruhan Allah. Apabila Allah SWT mengarahkan sesuatu syariat untuk dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah zakat menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama sesama insan. Maka, dari situlah lahirnya bibit keberkatan seiring sifat ihsan yang kita amalkan.

Jika dikaji, berkat adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak pada mata namun dapat dirasai di jiwa. Sebagai contoh, apabila rumahtangga yang dibina aman damai, penuh sakinah. Si isteri amat menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu ayah dan suami sendiri menjadi suami mithali, maka itu semua adalah pertanda adanya keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan seharian, segala urusan dipermudahkan Allah dan sebagainya lagi. Ini semua adalah indikator keberkatan hidup yang mungkin telah dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Firman Allah yang bermaksud: “ Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan pada siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati ” (Al-Baqarah: 274)

Sumber  :
Ust Hamizul Abdul Hamid
Lembaga Zakat Selangor

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...