| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Monday, August 1, 2011

Manusia dijadikan untuk mengabdikan diri kepada Allah

Photobucket
Matlamat kejadian manusia di dunia ini telah dijelaskan oleh Allah Taala dalam firmanNya : Maksudnya : Tidak Kami jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu (Al-Zariat: 56)

Dalam ayat lain Allah menyebut secara jelas dalam bentuk perintah supaya manusia mengabdikan diri kepadaNya. FirmanNya : Maksudnya : Wahai sekelian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menjadi kamu dan umat yang sebelum kamu (Al-Baqarah: 21)


Intipati pengabdian diri manusia kepada Allah ialah menjadikan semua urusan dan aktiviti yang dilakukannya samada berbentuk iktikad, kata-kata atau amalan menepati keredhaan dan kesukaan Allah. Manusia yang mengabdikan diri kepada Allah hendaklah mencorakkan tingkah laku dan kehidupannya menepati hidayah dan syariat Allah. Firman Allah : Maksudnya: Sesungguhnya jawapan orang-orang beriman apabila mereka diseru kepada Allah dan rasulNya untuk menyelesaikan perselisihan sesama mereka ialah mereka berkata “kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya (Al-Nur: 51)

Sebahagian ulamak dalam membahaskan pengabdian diri kepada Allah membahagikan ibadah kepada ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah segala bentuk amal ta’abbudi yang telah digariskan oleh Allah secara terperinci. Melakukan ibadah jenis ini dengan tujuan selain kerana Allah termasuk dalam syirik yang nyata. Manakala ibadah umum pula ialah segala aktiviti yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Untuk menjadikan aktiviti jenis ini sebagai ibadah mereka mensyaratkan ia hendaklah dilakukan kerana Allah dan mengikut disiplin yang telah ditetapkan oleh syariat (Al-Qardhawi, 1996). Manusia telah berikrar untuk melakukan kedua-dua jenis ibadah ini di sepanjang kehidupannya sebagaimana yang diberitahu oleh Allah dalam firmanNya :  Maksudnya: Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadah korbanku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Dengan itulah aku telah diperintahkan (Al-An’am: 162)

Namun untuk menrealisasikan pengabdian diri kepada Allah dalam semua jenis aktiviti makruf yang dilakukan oleh manusia bukanlah suatu yang mudah. Ini kerana manusia sentiasa berdepan dan dihalang oleh musuh-musuhnya yang tidak mahu melihat manusia mengikut jalan Allah yang lurus. Oleh itu bagi membolehkan manusia menrealisasikan tuntutan pengabdian diri kepada Allah, mereka perlu berusaha dan bermujahadah memenangkan tuntutan iman dan menewaskan tuntutan musuh-musuhnya yang telah dibincangkan sebelum ini. Di sinilah timbulnya konsep mujahadah yang banyak dibincangkan dalam buku-buku tasauf.


Manusia mempunyai dua kehidupan.
Kehidupan manusia bukan hanya setakat di dunia. Akan tetapi kehidupannya bersambung ke alam akhirat setelah melalui alam kubur. Dunia adalah sebagai ladang untuk bercucuk tanam dengan melakukan amalan-amalan soleh atau sebaliknya. Manakala akhirat adalah tempat untuk melihat dan mengutip hasil samada baik atau jahat. Firman Allah : Maksudnya: Dan katakanlah : “ Bekerjalah kamu. Maka Allah, rasulNya dan orang-orang beriman akan melihat pekerjaan kamu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu pekerjaan yang telah kamu lakukan. (Al-Taubah: 105)

Kehidupan dunia adalah penghubung kepada akhirat. Tidak ada pemisahan antara dunia dan akhirat. Manusia yang beramal di dunia akan dapat melihat hasilnya di akhirat. Amalan dunia mempunyai keutamaan dan peringkat yang telah ditentukan oleh syariat. Semua amalan tidak sama tarafnya dari segi keutamaan. Ini kerana manusia tidak mampu melakukan semua amalan yang ada di dunia. Maka yang utama perlu didahulukan dan yang kurang utama dikemudiankan. Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan dunia dan kepentingan akhirat maka kepentingan akhirat adalah lebih utama. Firman Allah : Maksudnya: Dan akhirat itu adalah lebih baik bagimu dari dunia (Al-Dhuha: 4)

Kehidupan dunia adalah berbentuk sementara. Ia akan binasa akibat kematian atau hari kiamat. Manakala kehidupan akhirat adalah kekal buat selama-lamanya tanpa ada penghujung. Kehidupan dunia penuh dengan tipu daya yang mengeliru dan menjerat manusia. Manakala kehidupan akhirat adalah bersih dan dipenuhi dengan pembalasan samada baik atau buruk. Syurga adalah tempat nikmat yang kekal. Begitu juga dengan neraka sebagai tempat azab yang kekal. Nikmat dan azab di akhirat adalah berlipat kali ganda berbanding dengan azab dan nikmat di dunia.

Manusia perlu kepada panduan syariat dalam kehidupan di dunia. Kesimpulan daripada sifat-sifat manusia yang telah dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana yang telah dibincangkan ialah manusia tidak boleh lari daripada panduan syariat yang diturunkan oleh Tuhan yang menciptakan manusia. Ini kerana Tuhan yang menciptakan manusia itu sendirilah yang tahu segala kekuatan dan kelemahan yang ada serta segala keperluan yang mesti dipenuhi bagi menjamin kehidupan yang sempurna dan sejehtera di dunia dan di akhirat. Dengan akal semata-mata, manusia tidak mampu untuk memikirkan kebaikan dan mengelakkan kerosakan bagi dirinya kerana ia dipengaruhi oleh kelemahan dan musuh yang hendak merosakkan kehidupannya.

Justeru itu para ulamak menghuraikan bahawa objektif utama syariat Islam diturunkan oleh Allah yang Maha Mengetahui keperluan makhluk yang diciptakanNya adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan manusia di dunia dan di akhirat. Kepentingan ini akan terhasil dengan mendatangkan kebaikan dan mengelakkan kerosakan daripada manusia. Para ulamak menyebut kepentingan dan kebajikan manusia ini sebagai maslahat. Antara bentuk menjaga kepentingan manusia yang telah dilakukan oleh Allah ialah mensyariatkan beberapa jenis ibada bertahap wajib yang mesti dilaksanakan oleh manusia. Antara ibadat wajib ini ialah puasa di bulan Ramadhan. Di samping puasa wajib di bulan Ramadhan, banyak lagi puasa-puasa sunat yang digalakkan umat Islam melakukannya. 

Oleh syariat Islam telah menjelaskan kepada kita kegunaan dan faedah puasa bagi seorang manusia muslim dalam mengharungi kehidupan yang telah dijelaskan konsepnya sebelum ini. Allah telah menjelaskan dalam firmanNya bahawa faedah puasa ialah menghasilkan taqwa. Manakala Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahawa faedah puasa ialah ia bertindak sebagai perisai.

Taqwa menggambarkan kepada kita pengisian dalaman jiwa manusia supaya menjadi kental dalam melaksanakan dan mematuhi segala perintah dan menjauhkan diri daripada larangan Allah. Manakala perisai pula menggambarkan kepada kita kawalan yang dilakukan oleh spiritual power dalam diri manusia yang membentengi diri daripada serangan musuh yang tidak nampak. Akhirnya puasa akan mewujudkan generasi bertaqwa yang mampu mempertahankan diri daripada sebarang serangan rohani yang merosakkan kehidupan dunia dan akhirat.

Syaitan mengalir dalam darah anak Adam. Para sahabat bertanya : “ Bagaimana kami hendak menghentikannya.” Baginda menjawab : “ Hendaklah kamu berpuasa.” Dengan rahmat Allah yang amat menyanyangi manusia, Dia telah mewajibkan umat Islam berpuasa wajib sebulan Ramadhan. Tujuannya adalah untuk mengisi jiwa manusia dengan ‘internal energy’ yang berupaya menggerakkan motor badannya menepati kehendak syarak. Ini kerana Dia tahu sekiranya diberikan pilihan manusia akan cuai dan lalai untuk memenuhkan jiwa dengan ‘internal energy’ ini kerana manusia bebas memilih sebagaimana yang telah dibincangkan.


Kesimpulan
Oleh itu umat Islam terutama generasi muda perlu memahami dan menghayati perlaksanaan ibadah puasa samada yang wajib mahupun yang sunat agar ia menghasilkan buah yang dinyatakan oleh Allah dan rasulNya. Masyarakat juga perlu menggembeling tenaga untuk mengguna sama metod puasa sebagai pembina kekuatan dan benteng yang kukuh bagi individu mengharungi pancaroba kehidupan di dunia demi menjamin kesejahteraan di akhirat.

Sumber :
Hasnan Kasan
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia

2 comments:

ZORA said...

salam ramdhan ringgo..:)

Ringgo said...

salam ramadhan pada ZORA dan keluarga .. semoga ramadhan ini ZOra dan keluarga akan dapat menjalankan ibadah ramadhan dengan lebih baik dan berkualiti dari tahun2 sebelumnya ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...