| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Wednesday, July 6, 2011

Lelaki & Gelang Tangan ..

Gelang

Fenomena pemakaian gelang bagi kaum lelaki di kalangan masyarakat kita sememangnya tidak dinafikan sehingga bermacam-macam jenis gelang yang dipakai, sama ada ia daripada emas, perak, besi, tembaga, kayu, getah atau benang. 

Kalau gelang itu terdiri daripada besi atau terdiri daripada jenis logam tertentu ia biasanya dikaitkan dengan tujuan perubatan. Walau bagaimanapun ia mempunyai hukum tersendiri.

Pemakai-pemakai gelang tersebut tidak mengira sama ada ia daripada golongan remaja, orang muda mahupun  orang tua. Perkara pemakaian gelang bagi kaum lelaki ini pada dasarnya tidak selari dengan apa yang telah ditetapkan dalam hukum syara‘.

Gelang


Hukum lelaki memakai gelang
Kaum lelaki haram memakai gelang sekalipun bukan diperbuat daripada emas, sama ada ianya diperbuat daripada perak, besi, tembaga, kayu atau sebagainya.  Ini kerana gelang itu adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan, seperti juga rantai atau subang.

Oleh yang demikian lelaki yang memakai gelang itu adalah perbuatan menyerupai perempuan. Hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar. Ini kerana Rasulullah SAW melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Abbas Ra . Maksudnya:  “ Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan  yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa Rasullullah SAW melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. Laknat bermaksud jauh dari rahmat, taufiq dan hidayat Allah SWT .

Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata:  Ertinya: “ Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya.

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullah pula berkata ertinya: “ Dan daripada apa yang haram ialah gelang tangan dan gelang kaki untuk dipakai oleh  orang lelaki dan orang khuntsa (orang yang mempunyai dua jantina).”

Maka jelaslah bahawa kaum lelaki haram memakai gelang kerana ia adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan. Akan tetapi, bagaimana pula dalam situasi tertentu seperti memakai gelang ketika majlis perkahwinan atau memakainya kerana tujuan perubatan?

Lelaki memakai gelang ketika Majlis Persandingan Memakai gelang hukumnya adalah haram walaupun dipakai untuk majlis persandingan atau perkahwinan. Haram bagi pengantin lelaki memakai aksesori baju pengantin seperti gelang dan rantai walaupun ia bukan daripada emas.

Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyerupai perempuan bahkan ia tidak layak dengan keperkasaan seorang lelaki sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullahu Ta‘ala ertinya: “ Dan bagi kaum lelaki (dibolehkan) memakai cincin perak kerana mengikut sunnah dan ijma‘ (keharusannya), bahkan disunatkan bagi kaum lelaki (memakai cincin perak), bukan memakai gelang dan yang seumpamannya seperti dumluj (gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Tidak halal bagi kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelakian) orang-orang lelaki.”

Oleh itu jelaslah memakai gelang ketika majlis persandingan juga tidak dibolehkan dan hukumnya haram.


Gelang


Lelaki memakai gelang kerana tujuan perubatan
Adapun memakai gelang dengan tujuan semata-mata berubat dan ia memang betul-betul ubat, maka tiadalah mengapa kerana ada keperluan dan hajat.

Dalam perkara ini, ia boleh dilihat sebagai satu keuzuran sebagaimana persoalan orang lelaki dibolehkan memakai inai kerana keuzuran. Sehubungan dengan ini Imam ar-Ramli Rahimahullah berkata ertinya: “ Maka haram berinai ke atas keduanya (orang lelaki dan khuntsa (orang yang mempunyai dua jantina) kecuali kerana ada keuzuran.

Imam Asy-Syibramalissi Rahimahullah pula menjelaskan, skop pengecualian yang dikatakan oleh imam Ramli Rahimahullah di atas ialah apabila tidak ada selain inai yang dapat menggantikannya untuk dijadikan ubat.

Jelaslah hukum asal memakai gelang adalah tetap haram ke atas lelaki kecuali ada keuzuran seperti tidak ada ubat lain yang boleh menggantikan gelang tersebut sebagai ubat untuk mengubati penyakit. Dalam makna tanpa ada keuzuran, ia tetap haram dan dilarang memakainya bagi lelaki dan khuntsa.

Apa yang penting ialah hendaklah memakai gelang itu dengan niat tujuan perubatan semata-mata dan ia memang betul-betul ubat, bukan dengan niat untuk bermegah-megah atau bergaya, maka yang demikian itu adalah haram. Apatah lagi dengan niat untuk bergaya semata-mata.

Kesan kaum lelaki memakai gelang Sebagaimana yang dijelaskan, lelaki yang memakai gelang adalah perbuatan menyerupai perempuan dan perbuatan menyerupai perempuan itu adalah perbuatan dosa besar. Orang yang seperti ini boleh dicap sebagai fasiq. Orang yang fasiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, lelaki yang memakai gelang akan memberi kesan terhadap kelayakannya untuk menjadi seorang saksi dan wali nikah. Kesaksiannya tidak akan diterima, begitu juga tidak sah dia menjadi wali nikah selagi tidak bertaubat dan menyesali perbuatannya. Sebab, salah satu daripada syarat saksi dan wali nikah itu hendaklah mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq.

Oleh yang demikian, elakkan memakai gelang sekalipun bagi tujuan berubat, kerana dalam tujuan berubat itu ditakuti tidak dapat memenuhi tuntutan maksud keuzuran yang dikehendaki itu.

2 comments:

MaMa AiNi said...

banyak lelaki sekarang yg memakai gelang magnet..contohnya..hb mama tidak memakai gelang atau cincin..he2x...rimas katanya..

Ringgo said...

tul tu mama .. gelang magnet la , gelang silver la .. gelang plastik/getah la .. gelang kulit la tak tau aa kulit apa , sebelih ke tidak ..
cincin perak takpe , sunnah lg..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...