| Selamat Tahun Baru 1435H & 2014M Semoga Hari Yang Mendatang Ini Akan Mendekatkan Kita Kepada Tuhan Sekelian Alam ..

Friday, June 10, 2011

Akidah Mencorakkan Akhlak

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nilai-nilai akhlak yang dipegang oleh seseorang dan sesuatu kebudayaan itu adalah hasil daripada aqidah dan gambaran tentang kehidupan itu. Pembentukan nilai-nilai akhlak itu bergantung kepada bagaimana manusia memberikan jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang asasi dalam hidup. Siapakah yang mencipta alam ini dan apakah tujuannya? Apakah tujuan manusia ditempatkan di bumi dan apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenar? Jawapan-jawapan kepada persoalan asas mengenai kehidupan ini akan menentu dan mencorak nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kebudayaan. Oleh kerana terdapat berbagai-bagai jawapan kepada persoalan tersebut, maka terdapat berbagai sistem nilai di dalam masyarakat manusia yang mencorakkan berbagai sikap dan tingkahlaku yang membentuk berbagai-bagai kebudayaan. Al-Quran telah memaparkan berbagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada persoalan-persoalan asasi kehidupan yang membentuk konsepsi dan aqidah mengenai kehidupan ini. Terdapat aqidah orang-orang beriman, aqidah orang-orang kafir, aqidah orang-orang fasik dan aqidah orang-orang munafiqin.


Aqidah orang-orang beriman dinyatakan dalam al-Ouran sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T, kepada Rasul-Nya, kepada keagungan Allah yang mencipta dan memiliki alam ini. Mereka yakin kepada hari akhirat, yakin bahawa kejadian Allah tidak terbatas kepada alam lahir sahaja dan kejadian Allah itu tidak terbatas dalam lingkungan yang dapat diketahui oleh manusia. Kerana itu mereka percaya kepada kejadian Allah yang ghaib, seperti malaikat, syurga, neraka dan adanya makhluk-makhluk Allah yang lain yang tidak diketahui oleh manusia dan pengetahuan manusia tidak menjadi syarat bagi menentukan sesuatu kejadian Allah harus ada atau tidak ada. Allah S.W.T bebas mengikut kehendak-Nya, untuk mencipta atau tidak mencipta sesuatu yang ada di dalam ilmu-Nya.

Aqidah ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah S.W.T dan tidak bergantung harap kepada yang lain daripada-Nya. Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T. dan setiap tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. dan beribadat kepada Allah S.W.T. menjadi tumpuan dan pemusatan setiap aspek kegiatannya. Pergantungan semata-mata kepada Allah memberikan kepada seorang mu'min itu kebebasan dan tidak terikat kepada mana-mana kuasa lain daripada Allah S.W.T. Daripada perasaan inilah tercetusnya pengakuan seorang muslim bahawa " Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T. "

Manusia beriman yang sebenarnya, tidak mungkin menyembah kepada yang lain daripada Allah S.W.T., tidak mempeduakan sesuatu yang dicipta oleh mana-mana kuasa selain daripada yang ditentukan di dalam agama Allah S.W.T. . Allah S.W.T bagi mereka adalah Tuhan Yang Maha Sempurma, Maha berkuasa dan kepada Dialah tumpuan segala ibadah dan segala yang baik sama ada niat dan amalan. Lihatlah bagaimana pendirian yang bebas, tegas dan berani yang ditunjukkan oleh seorang mu'min yang sejati Rab'i bin Amir ketika berhadapan dengan raja Rum, yang bermaksud : " Allah sesungguhnya mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya dan keluasan akhirat daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam." Seorang mu'min berjiwa bebas, tetapi bukan sebagai debu berterbangan di udara. Kebebasan seorang mu'min sentiasa mendapat panduan dan bimbangan. Justeru itu ia tidak berkelana dan hidup tanpa tujuan. la sentiasa bergerak bebas dengan memiliki peta yang menunjukkan haluan pergerakan dan perjalanannya. la sentiasa bertindak mengikut petunjuk Allah dan berpandu kepadanya.

Seorang mu'min berperasaan halus dan berhati lembut kerana keyakinannya bahawa ia adalah hamba kepada Allah S.W.T. Segala perbuatannya akan dinilai dan dihitung serta diberikan balasan atau ganjaran dengan adil dan saksama. Wawasannya, tidak semata-mata untuk mendapatkan habuan dan ganjaran didunia, tetapi juga di akhirat. Tentunya, ganjaran di akhirat adalah lebih baik daripada didunia. Kerana itu, ia sanggup mengorbankan kurniaan Allah di dunia, untuk mendapatkan kurniaan Allah di akhirat.

Aqidah dan pandangan hidup yang asas ini, memancarkan nilai-nilai yang murni dalam jiwa orang-orang beriman. Nilai-nilai ikhlas untuk Allah S.W.T. dan tidak tunduk beribadah melainkan kepada Allah S.W.T Adalah merupakan nilai yang agung yang membentuk akhlak yang murni dan jiwa yang luhur dalam kehidupan orang-orang beriman. Ia membentuk akhlak terhadap Allah S.W.T. dan akhlak terhadap sesama manusia.
Hubungan manusia dengan Allah S.W.T dan kelakuannya terhadap Allah S.W.T. ditentukan mengikut nilai-nilai aqidah yang ditetapkan. Begitu juga akhlak terhadap manusia dicorakkan oleh nilai-nilai aqidah seorang muslim, sepertimana yang ditetapkan didalam Al-Quran yang merupakan ajaran dan wahyu daripada Allah S.W.T. . Pergaulan manusia dengan manusia tidak boleh disamakan dengan perhubungan manusia dengan Allah S.W.T. Aqidah dan pegangan seorang beriman berbeza dengan aqidah dan pegangan seorang kafir.

Justeru itu nilai-nilai dan akhlak juga berbeza. Al-Quran memaparkan aqidah dan pegangan orang-orang kafir dalam berbagai kategori, justeru terdapat berbagai bentuk kekufuran yang berlaku di kalangan umat manusia. Antara kekufuran yang berlaku disebabkan mereka menolak ajaran yang benar yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T. dan mereka menafikan kerasulan utusan itu. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : " Maka berkata pembesar-pembesar yang kafir itu dari kalangan bangsanya, ini tidak lain daripada manusia seperti kamu. Ia hendak menonjolkan diri supaya lebih daripada kamu. Jika Allah hendak turunkan utusan, Dia akan turunkan malaikat . Kita tidak mendengar dari bapa-bapa kita yang terdahulu mengenai ini ( utusan Allah dari kalangan manusia ). ( al-Mu'minun : 24 )

Kekufuran juga berlaku kerana tidak percayakan hari akhirat. Kerana percaya bahawa tidak ada kehidupan selepas mati, mereka hidup berfoya-foya di dunia ini tanpa memikirkan seksaan di akhirat. Bagi mereka seperti yang dinyatakan oleh Al-Quran " kehidupan ini cuma di dunia ". Manusia dilahirkan dan kemudian mati, mereka tidak dibangkitkan kembali, seperti kata mereka yang bermaksud : " Kehidupan kita tidak yang lain daripada kehidupan di dunia. Daripada tiada kita ada dan hidup . Apabila mati kita tidak dibangkitkan lagi. Maksudnya : " Dan berkata pembesar-pembesar dari bangsanya yang kafir dan mendustakan kehidupan akhirat dan kami jadikan berfoya-foya dalam kehidupan mereka didunia, orang ini, hanyalah seorang manusia seperti kamu. Samakan dari apa yang kamu makan dan minum dari apa yang kamu minum " (al-Mu'minun : 33)

Kekufuran juga berlaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah Allah dan angkuh terhadapnya. Allah berfirman mengenai kekufuran Iblis yang bermaksud : " Dan ketika kami berkata kepada malaikat sujudlah kepada Adam. Mereka pun sujud, kecuali lblis. la ingkar dan takabur dan ia daripada orang-orang kafir." (al-Baqarah : 34)

Aqidah orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah S.W.T, yang tidak percaya kepada para rasul yang diutus oleh Allah dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum Allah dengan ingkar kepada hukum-hukum itu, membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Dan orang-orang yang kafir meni'mati kesenangan didunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka." ( Muhammad : 12 )

Mereka tidak mempunyai matlamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan ini bagi mereka mencari makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata untuk di atas dunia ini. ltulah sahaja kehidupan mereka. Selain daripada itu, tiada matlamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini, sudah tentu mempengaruhi pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.

Satu lagi aqidah kekufuran yang berbahaya ialah munafiq yang " pepat di luar rencung di dalam " " telunjuk lurus kelingking berkait." Bahaya kekufuran ini sangat dahsyat kerana sikap pemusuhan dan dendam mereka terhadap orang-orang yang beriman. Gambaran mengenai aqidah mereka penuh dengan gambaran kepura-puraan . Mereka mengaku beriman, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka berpura-pura percaya kepada Nabi S.A.W. yang diutus oleh Allah S.W.T. tetapi dalam hati mereka benci dan memusuhi baginda. Mereka memandang rendah kepada ajaran Nabi S.A.W. dan sering mempertikaikan ajaran itu. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Dan di kalangan manusia ada yang berkata kami beriman dengan Allah dan Hari Akhirat pada hal mereka bukan daripada orang-orang beriman." ( Al-Baqarah : 8)

Aqidah munafiqin, melahirkan sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan keji yang mewakili akhlak yang buruk. Untuk menyembunyikan kekufuran, mereka berdusta, memutar belitkan kebenaran, memungkir janji dan mengkhianati amanah . Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : " Tiga perkara yang sesiapa yang mempunyainya didalam diri maka ia adalah munafiq. Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji tidak dikotakan apabila diberi amanah ia khianat. " ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

2 comments:

mama aini said...

mama setuju aqidah mencorakkan akhlak seseorang itu...semuga kita antara insan2 yg beriman dan bergantung hanya kepada Allah !!..

Ringgo said...

tul tu MaMa A .. untuk membentuk akidah tu bukan la satu tugas yang mudah sekarang ni .. tambah² dengan keadaan persekitaran & pergaulan anak² yang bebas ..
InsyaAllah hanya kepada Allah !!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...